Jul 9, 2009

Mukmin sejati mesti sabar hadapi ujian

Bersama Dr Juanda Jaya

SUATU hari, tiba-tiba Allah SWT menentukan turunnya bala ke atas
diri dan keluarga kita. Hati dan perasaan kita mencari dan bertanya,
apakah salah dan dosa yang dilakukan? Mengapa begitu susah
mententeramkan hati dengan berprasangka baik kepada Allah SWT? Kita
berusaha memujuk diri dengan satu kefahaman bala dan ujian itu akan
Allah SWT balas dengan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang
hilang di tangan anda.


Allah SWT sentiasa memilih yang terbaik untuk diri kita. Adakah
patut kita mendahului Allah SWT dalam setiap pilihan-Nya? Manusia
berkata dalam hati: “Alangkah eloknya jika begini dan begini.” Adakah
manusia itu mengetahui seperti mana Allah SWT Mengetahui? Yang sehelai
daun gugur di serata bumi ini pun tidak akan gugur kecuali dengan
pengetahuan-Nya? Alangkah naif manusia jika ia merasa dirinya lebih
tahu apa yang terbaik buat dipilih.

Saidina Umar bin al-Khattab, pernah berputus asa ketika kemenangan
Islam tidak muncul. Pada hal di sisi beliau ada Rasulullah SAW.
Perasaan putus asa Umar ini jauh lebih bernilai daripada rasa putus asa
kita yang kehilangan dunia, anak atau isteri.



Perasaan putus asa Umar adalah mewakili Islam dan kesetiaannya kepada
Allah SWT dan Rasul-Nya. Manakala perasaan putus asa kita mewakili
kepentingan dan ego dalam diri sendiri. Umar meratap sedih: “Wahai
Rasulullah bukankah kamu utusan Allah? Bukankah Agama ini benar?”
Rasulullah menguatkan semangat sahabatnya: “Sesungguhnya Aku adalah
seorang hamba Allah dan sudah tentu Dia tidak akan membinasakan
diriku.” (Sirah Nabawiyah oleh Dr Mustafa al-Sibaie)


Kata-kata keramat Baginda ini sudah selayaknya menghiasi hati orang
mukmin yang bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Jika kita mahu
menelusuri selok-belok kehidupan ini, ujian dan cabaran itu sebenarnya
membuat anda menjadi lebih kebal. Tidak mudah goyah dan mampu melompat
lebih tinggi.


Orang yang memenangi pertarungan itu sebenarnya bukan yang kuat
tetapi yang paling mampu menahan sakit. Lihatlah mereka yang berjaya.
Di atas kesakitan itu mereka membina kekuatan, rela tidak tidur untuk
kerja yang perlu diselesaikan. Mereka yang berjaya begitu disiplin dan
menghargai kesakitan yang diderita. Allah SWT menguji siapakah yang
paling baik imannya dan paling reda dengan qada dan qadar-Nya.


Dr Yusuf Al-Qaradawi, dalam kitabnya Al-Iman wal Hayah menyatakan:
“Tidak mungkin manusia dapat menghindarkan diri daripada pelbagai
kesulitan, begitulah kenyataan hidup, ramai yang bersua dengan
kegagalan, ditinggalkan kekasih, penyakit menyerang tubuh, kehilangan
harta benda dan seterusnya. Kemudian beliau mengambil hadis Rasulullah
bermaksud: “Perumpamaan orang beriman yang ditimpa ujian bagai besi
yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilang karat dan tinggal yang
baiknya saja.”


Beliau juga meminjam kata-kata seorang ulama: “Setiap kali aku
ditimpa ujian duniawi, terbayang olehku tiga kurniaan Tuhan. Yang
pertama, cubaan itu tidak menjejaskan agamaku. Yang kedua, aku tidak
ditimpa bahaya yang lebih besar dari itu. Yang ketiga, aku mendapat
pahala dari Allah SWT kerananya.


Betapa indahnya ungkapan semangat yang mencerminkan kekerasan hati
orang beriman. Seperti mana kata-kata Saidina Urwah bin al-Zubair saat
menghadapi sakit sehingga anggota badannya diamputasi dan kematian anak
lelakinya: “Ya Allah, di atas kesedihan ini hamba memuji-Mu, Engkau
memberiku tujuh orang anak, lalu Engkau mengambilnya satu. Aku tidak
menyesal, bukankah Engkau tinggalkan untukku enam orang lagi? Kaki dan
tanganku semuanya empat dan Engkau hanya ambil satu saja daripada
mereka. Bukankah ada tiga lagi yang sepatutnya aku syukuri? Kalau
Engkau yang mengambil maka Engkau juga yang memberi. Kalau Engkau yang
menurunkan bala, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan.”


Itulah hikmah sebenar mengapa Allah SWT menguji, supaya tumbuh jiwa
hamba pada diri kita. Tiada ego melampau dan menganggap akulah yang
kuat lalu menzalimi orang lain. Kerana ada Yang Maha Kuasa yang serta
merta boleh merenggut ubun-ubunnya dan menghapuskan apa saja yang
dimiliki.


Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad: Mahukah Kami
khabar kepadamu orang yang amat merugi perbuatannya? Iaitu orang sesat
perbuatannya sewaktu hidup di dunia sedangkan mereka mengira
perbuatannya itu adalah kebaikan.” (Surah Al-Kahfi: 103-104).


Manusia merancang, Allah menentukan. Jika seorang bapa kehilangan
anaknya nescaya Allah membalas dengan Baitul Hamdi (sebuah istana
khusus di syurga) kerana kesabarannya. Bagaimana pula orang yang cekal
di atas bala lebih teruk daripada itu? Balaslah ujian Allah SWT dengan
lafaz pujian dan syukur kepada-Nya, kerana ia tanda kasih sayang Allah
SWT ke atas diri kita.


Penulis ialah pendakwah dari Negeri Sarawak, boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my