May 18, 2009

Didik Masyarakat Jadi Prihatin - Rosmawati

KUALA LUMPUR, 18 Mei - Gejala pembuangan bayi yang baru dilahirkan nampaknya sudah menjadi sesuatu yang lumrah dalam masyarakat hari ini.

Pengarah Raudhatus Sakinah, Rosmawati Zainal (gambar) berkata, kekejaman berlaku bukan hanya kerana bayi itu dibuang, malah lebih dahsyat lagi, ia membawa kepada pembunuhan bayi yang malang tersebut.

“Kegiatan pembuangan dan pembunuhan bayi ini seolah-olah sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat lantaran hampir setiap hari kita mendengar berita-berita mengenainya dalam media massa. Namun hal yang menjadi tanda tanya ialah kegiatan tersebut berlaku dalam masyarakat yang bagaimana?” ujar Rosmawati ketika diminta oleh Malaysia Harmoni untuk mengulas kes pembuangan bayi yang berlaku di belakang sebuah kedai makan di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini pada malam 16 Mei 2009 yang lalu.

Dalam kejadian tersebut, mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui oleh salah seorang pekerja kedai makan tersebut dalam keadaan berbungkus dengan surat khabar dan masih terdapat kesan darah, dipercayai baru dilahirkan.

“Kita tidak tahu siapa yang melakukannya dan bagaimana bentuk pembuangannya. Namun kita bersyukur kerana masih ada ahli masyarakat yang bersikap prihatin walaupun kita tahu kebanyakan daripada mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan situasi sebegitu,” tambah beliau.

Untuk itu, beliau memberikan saranan agar seluruh ahli masyarakat harus terus dididik dalam menangani gejala sedemikian.

“Mereka yang melakukannya adalah mereka yang jahil. Justeru, dengan didikan yang betul, mereka mampu keluar daripada kejahilan tersebut. Mereka yang lain juga harus turut dididik agar menjadi ahli mayarakat yang prihatin dengan suasana yang berlaku di sekeliling mereka,” tegas beliau lagi.

Dalam pada itu, Raudhatus Sakinah yang merupakan sebuah pusat perlindungan dan bimbingan remaja puteri kini sedang giat menjalankan kempen “Anda Bijak Jauhi Zina”, sebuah kempen yang mula dilancarkan pada tahun 2007 dengan menjadikan para pelajar sekolah-sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi sebagai golongan sasaran.

“Kita harap kempen sebegini bukan dilakukan oleh pihak Raudhatus Sakinah sahaja, namun harus turut digerakkan oleh semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan swasta. Kita laksanakannya adalah untuk membantu golongan remaja, belia dan masyarakat seluruhnya daripada terus terjerumus ke lembah dosa dan noda,” kata beliau.

No comments: