Feb 23, 2007

Sesuci Kasih Ibu



My
Mom



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



“Benci betul
aku nak balik rumah. Mak aku mesti pot..pet..pot..pet.. mana aku pergi, apa aku
buat, apasal balik lambat, ish..rimaslah. Tak bebas langsung! Tak sporting
langsung! Ini tak boleh, itu tak boleh!”



Itu hanya secebis kisah masyarakat. Tapi implikasi dari corretan diatas besar
sekali. Seorang anak yang menganggap ibunya tidak memahaminya, hanya tahu
mencari kesalahannya, penghalang keseronokannya dan punca tekanan hidupnya!
Begitu besar sekali prasangka buruk dari seorang anak buat ibunya. Ibu yang
bersusah payah mengandung selama sembilan bulan dan melahirkannya.



Sebagai anak kita sering mengharapkan diri kita difahami, jiwa kita jangan
dikongkongi, kemana kita pergi jangan ditanyai, kononnya “tahulah jaga diri!”
Tetapi sebagai anak, apakah kita fahami kenapa ibu kita seperti tidak memahami,
seperti tidak mengerti gelodak jiwa kita?


Berhenti seketika,
cuba pandang wajah tua ibu kita itu.
Lihat dengan hati yang ikhlas bukan dengan pandangan yang penuh benci. Apakah
yang tertera pada wajah tua itu? Itukah wajah yang patut kita benci? Kedutan
yang kelihatan menunjukkan ibu kita telah lama hidup, terlebih dahulu “makan
garam” dari kita. Lihat rambutnya, lebih banyak yang putih dari yang hitam. Itu
tandanya kematangan hidup. Sebagai orang yang lebih berpengalaman tentang
kehidupan berbanding kita yang baru belajar mengenal dunia, pastinya ada alasan
yang tertentu atas setiap tindakan yang ibu kita ambil. Kata-kata hikmah dari
sebuah nasyid, ”marah bukan kerana benci, tapi tanda sayang”.



Tatap dan tenung betul-betul wajah tua ibu kita itu. Itukah wajah yang tidak
memahami kita? Itukah wajah yang menyekat kebebasan kita? Itukah wajah yang
patut kita sakiti? Tatap betul-betul dan tenung dalam-dalam, jika selama ini wajah
itu yang
cuba kita jauhi!Pertanyaan ibu kita,
kerisauan ibu kita, kekangan ibu kita bukan lahir dari rasa benci. Ia lahir
dari rasa kasih dan sayangnya kepada kita. Kasih dan sayang yang tidak berbelah
bagi. Kerana sayang mereka memarahi kelakuan buruk dan tindakan tidak bermoral
kita kerana mereka lebih kenal siapa kita. Mereka lebih berpengalaman dalam
selok belok kehidupan dari kita yang baru belajar mengenal hidup.



Seringkali kita meminta ibu yang melahirkan, menjaga dari kecil hingga dewasa,
memahami kita. Tiada insan yang lebih memahami kita selain dari ibu yang
membelai sejak dari dalam kandungan hinggalah muda belia. Orang yang diluar
sana tidak pernah memahami kita
sebagaimana ibu kita. Walau apa pun yang kita lakukan seorang ibu akan tetap disisi
anaknya, secara jasmani ataupun rohani.



Sementara masih ada waktu, sama-sama kita


1) Laksanakan tanggungjawap kepada ibu kita. Di dalam satu hadis Rasulullah
saw, daripada Mu'awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada
Rasulullah, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku
sekarang datang minta nasihat kepada tuan.”Baginda bertanya: “Apakah kamu masih
mempunyai ibu?”Dia menjawab: “Masih.” Baginda bersabda: “Uruslah dia, kerana
syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis riwayat Nasa'i, Ahmad dan Ibnu Majah).
Kita di tegah untuk mati syahid sekali pun jika hak-hak ibu kita masih belum
terlaksana. Sedangkan sebaik-baik kematian adalah mati syahid



2)Jangan
disakiti hatinya kerana bagi seorang anak itu syurga terletak pada keredhaan
seorang ibu.



3)Belajar
memahami hari seorang ibu. Jangan di tunggu hingga kita menjadi seorang ibu
baru kita fahami hati seorang ibu kerana waktu itu mungkin semuanya telah
terlambat!



4)Mohon
keampuannan ibu. Jangan biarkan hidup kita musnah di dunia dan menderita di
akhirat hanya kerana hati ibu kita terlalu terluka atas perbuatan kita.



5)Luangkan
masa bersama ibu. Masa untuk ibu kita mungkin semakin berlalu. Begitu juga masa
kita yang kita sendiri tidak tahu bila pengakhirannya.



6)Ingatkan
diri kita selalu tanpa ibu tiada kita di dunia ini. Tanpa kasih sayang ibu
mungkin sejak lahir lagi kita di tongsampahkan! Tanpa sayangnya ibu tidak
mungkin dapat kita membesar menjadi manusia.



7)Beringat
sentiasa kita adalah amanah kepada ibu bapa kita. Jika tidak sempurna amanah
dilaksanakan, bantulah diri mereka dengan melakukan yang terbaik berlandaskan
syariat islam supaya terlepas ibu bapa kita dari tanggungjawabnya yang tidak
sempurna perlaksanaannya. Itu sebagai tanda kasih sayang kita kepada mereka.
Bukan kita pula yang mencacatkan semuanya sehingga kita bergelar anak derhaka.





8) Kenangkan pengorbanannya. Ketika kita kecil walau betapa susah pun ibu kita
pasti dia akan tetap
cuba untuk memenuhi tuntutan kita. Yang
kita tahu mahu yang itu dan mahu yang ini! Bila kita telah dewasa ibu kita
hanya meminta kita untuk menjadi anak yang baik, anak yang tidak menderhaka
kepadanya, tetapi itu yang sukar kita lakukan! Seorang anak tidak dapat berkata
”ah” pun kepada ibunya apatah lagi meninggikan suara! Ianya bukan tegahan dari
sesiapa tapi tegahan dari allah. Sebagaimana dalam surah Al-Isra’, ayat 23



"Dan
Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya
semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah
seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam
jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang
perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau
menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang
mulia (yang bersopan santun)."



Hargai ibu kita setiap hari kerana ibu kita tidak sehari pun berhenti dari
menjadi ibu. Kasih sayangnya kepada anak-anaknya tidak akan hilang walau betapa
sakitnya hati ibu atas perlakuan anak-anaknya. Sayangi mereka sementara mereka
masih boleh menerimanya. Jangan tunggu hingga mereka tiada baru kita sedar
betapa sucinya kasih ibu



/>

powered by performancing firefox

1 comment:

Mawardesa said...

Komen from xifu...(I move my site)
Wahhhhh...syabbas! ini betul betul murid yang commited. Penulisan yang baik! beberapa kesalahan ejaan, eg corretan, ejaan ingeris perlu di italic kan eg 'sporting' perkataan 'lah' boleh di abaikan, perkataan seruan seolah olah mengajar2 pembaca 'marilah' perlu ditinggalkan...
Thumbs up