Mar 9, 2007

Ujian kenikmatan

"Ujian adalah..tarbiyyah dari Allah. Apakah kitakan sabar, ataupun sebaliknya..." Begitulah bait-bait dari sebuah lagu lama the zikr. Nasyid-nasyid lama biasanya penuh "ruh", setiap kali mendengarnya pasti menusuk-nusuk ke dalam hati. Merasai rindunya dan kasihnya Ilahi. Tapi nasyid sekarang, asyik membicarakan mengenai cinta sesama manusia! Sukar dicari nasyid yang apabila didengari terus menusuk ke dalam hati. Hati terus mengakui "benarlah ya allah, kaulah segala-galanya," "ampunkanlah aku ya allah atas segala noda dan dosa yang kulakukan." "Aku akui ya Allah, ini hanyalah ujian Mu untuk hamba-hambamu". Semua itu adalah perasaan yang sukar lagi dirasai apabila mendengar nasyid-nasyid kontemporari. Kebanyakannya hanyalah untuk halwa teliga bukan halwa hati!.

Bukan mengenai nasyid yang ingin dinaytakan disini, tapi mengenai ujian. Apabila kita berbicara mengenai ujian. Seringkali yang kita fikirkan adalah ujian kesusahan, ujian kesedihan, ujian yang negatif saja. Bila berlaku sesuatu keburukan pada kita pasti kita ingat "ini ujian dari allah". Kita mudah untuk mengingati allah jika ujian yang mendatang menyesakkan nafas kita, menyakitkan diri kita, meremuk redamkan jantung hati kita.

Seringkali kita terlupa bahawa ianya juga satu bentuk ujian jika kita mendapat kesenangan. Allah berfirman di dalam surah Az-Zumar ayat 49 yang bermaksud "Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui".

Setiap hari berapa kalikah kita menadah tangan dan berkata kepada Allah "Ya Allah, ampunkanlah aku jika tidak cukup syukurku padaMu diatas segala nikmat yang engkau berikan padaku". Sepanjang lima kali kita bersolat wajib, berapa kali pengucapan itu yang kita ucapkan?

Setiap hari seribu satu nikmat yang kita nikmati. Cuba kita tutup mata selama lima minit dan buatlah kerja apa-apa yang kita biasa buat, mengemas ke, buat minuman ke. Apa yang kita rasa? Itu baru lima minit, cuba 30 minit! Cuba pula kakukan kedua-dua tangan kita, satu pun cukuplah sebagai permulaan. Cuba kedapur dan angkat periuk ke apa2. Senang tak? Cuba baring kat atas katil, jangan bergerak selama 15 minit. Jangan angkat tangan, jangan buat apa-apa. Baring saja (jangan tidur pulak! kena sedar baru rasa). Kalau 15 minit tak rasa apa-apa, cuba tambah ke 30 minit.

Itu semua hanyalah sebahagian dari nikmat yang kita "hilangkan" untuk seketika. Itu kita "hilangkan" sendiri, jadi bolehlah kembali normal dengan sendirinya bila kita rasa dah tak selesa. Nikmat-nikmat yang kita miliki inilah yang sering kita lupa. Lupa untuk bersyukur, sedangkan allah dengan sekelip mata saja boleh menariknya!

Kita suka membaca, suka melihat keindahan alam, suka window shoping, apa nikmatnya lagi semua itu jika tiba-tiba allah menarik balik nikmat penglihatan kita? Kita suka bersukan, apa nikmatnya lagi aktiviti sukan itu jika tiba-tiba kita hanya mampu terbaring kaku di atas katil! Nikmatnya makanan yang masuk ke dalam mulut kita tak mampu lagi untuk kita betul-betul nikmati jika ada ulcer sekecil mata pen sekali pun!

Sementara masih kita miliki seribu satu nikmat kurniaan ilahi ini, sama-sama kita syukuri dan jagai ia dengan baik. Jangan kita biarkan mata kita melihat sesuatu yang mungkar, jangan kita biarkan tangan kita memegang sesuatu yang haram, jangan kita biarkan mulut kita berbicara dusta, jangan kita biarkan kaki kita melangkah ke tempat maksiat. Jangan dan jangan, supaya allah tidak murka kepada kita dengan nikmat yand dikurniakan kepada kita. Segala nikmat yang kita miliki sepatutnya mendekatkan lagi kita kepada PEMBERI nikmat itu bukan sebaliknya. Kerana DIA yang memberi, DIA jugalah dengan mudah dapat menariknya.

Jika kemaksiatan yang kita lakukan, dan kita tidak diuji malah seribu satu nikmat lagi melimpah ruah, jangan ingat "ohh..alhamdulillah, saya bersyukur kepada allah atas kemenangan ini... terima kasih..." Tapi kita kena sedar mungkin waktu itu allah telah pun membiarkan kita sendiri. Tenggelam dalam nikmat dunia, menderita hidup di akhirat! Biar menderita di dunia, bahagia di akhirat, jangan, dan malang sekali, jika berbahagia di dunia, menderita di akhirat. Terlebih malang, teramat malang jika menderita di dunia, menderita di akhirat.



Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 214 dan 284 yang bermaksud

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncoang (oleh ancaman musuh)...".



"Segala yang ada di langit dan yang ada dibumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescara Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".



Peringatan buat diri yang sering terlupa ini.









powered by performancing firefox

1 comment:

ellyWong said...

salam kak su... thank you for the peringatan...