Mar 16, 2009

KENYATAAN MEDIA SEMPENA HARI WANITA SEDUNIA 2009

WANITA PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA(JIM)

Perkongsi Keprihatinan Masa Depan ( Sharing the Caring for the
Future): Ke Arah Merealisasikan Pembentukan Masyarakat Madani


Hari Wanita Sedunia (International Women’s Day – IWD)
disambut pada tanggal 8hb. Mac setiap tahun. Serentak itu juga,
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat
tahunan Suruhanjaya Status Wanita ( Commission for the
Status of
Women - CSW) yang dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan
dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara anggota pertubuhan
tersebut. Tahun ini IWD membawa tema `Sharing the Caring for
the Future
– Berkongsi Keprihatinan Masa Depan’ – yang
menekankan tentang keperluan semua pihak berganding bahu
menjamin kesejahteraan masa depan, khususnya untuk generasi
akan datang.

Dalam konteks keprihatinan, kaum wanita sememangnya sudah lama
menyedari tanggungjawab dan amanah besar memastikan masa depan
yang sejahtera, aman damai untuk anak cucu mereka. Kesedaran
ini mendorong kaum wanita berusaha memajukan diri sendiri,
keluarga dan masyarakat. Strategi memperkasa dan menambah
keupayaan wanita meningkatkan kemajuan diri dirancang kemas
secara individu dan kolektif untuk memastikan peranan dapat
dimainkan sebaik-baiknya.

Wanita JIM menyokong penuh tema yang ditetapkan untuk IWD 2009
ini, yang dirasakan amat tepat pada masanya. Dalam krisis
kegawatan ekonomi, politik, sosial, alam sekitar dan
kemanusiaan yang semakin mencengkam dunia hari ini, penekanan
semestinya dikhususkan kepada pelaksanaan tanggungjawab semua
pihak untuk memastikan segala tindakan yang diambil hari ini
tidak mendatangkan sebarang kerugian yang akan ditanggung
oleh generasi akan datang.

Setelah sekian lama kaum wanita berjuang mendapatkan hak
dan pembelaan terhadap nasib yang sekian lama tertindas
dan tersisih, setelah banyak kejayaan dan kemajuan dapat
diraih, semakin ketara perlunya perjuangan tersebut
merangkumi semua pihak dan setiap aspek kehidupan.
Memperjuangkan kepentingan sesuatu pihak sahaja
sementara pihak lain ditinggal dan dibiarkan,
lama-kelamaan menghasilkan satu
jurang perbezaan yang semakin menjauh.

Wanita JIM berpandangan, keprihatinan masa depan mestilah
diketengahkan sebagai agenda utama pembangunan masyarakat.
Sekiranya kita mengimpikan sebuah masyarakat madani, yang
seimbang dan sejahtera berasaskan kemantapan nilai dan
pegangan aqidah yang sahih, tugas berat merealisasikannya
mestilah dipikul oleh semua pihak – lelaki dan wanita.
Aspek utama dalam membangunkan modal insan adalah penguasaan
ilmu pengetahuan dan pendidikan yang mampu mengubah keyakinan,
akhlak, akal, sikap dan psikomotor. Tugas mendidik generasi
akan datang mestilah dijadikan keutamaan yang tiada kompromi,
dipacu oleh kelompok ilmuwan dan cendekiawan yang jujur
ikhlas memanfaatkan anugerah kebijaksanaan dari Allah SWT.

Wanita JIM menuntut semua pihak agar tidak lalai dan alpa
dalam menjalankan amanah mendidik generasi akan datang.
Kaum wanita diseru agar terus meningkatkan potensi
diri di samping tidak mengenepikan tanggungjawab
membimbing anak-anak ke jalan yang diredhai Allah.
Sementara, kaum lelaki diminta kembali meletakkan
keutamaan kepada institusi kekeluargaan yang menuntut
mereka menjadi nakhoda yang adil dan saksama. Bahtera
rumahtangga mestilah dikendalikan bersama dengan
bijaksana, berasaskan ajaran dan bimbingan Al-Quran
dan As-Sunnah, bukan dengan membabi buta, didorong
oleh hawa nafsu dan kejahilan yang hina.

Dalam konteks yang lebih luas, Wanita JIM mendesak
agar pemimpin masyarakat di setiap peringkat – sama
ada di tahap komuniti setempat mahukan pucuk kepimpinan
negara – agar tidak sesekali menggadai prinsip apatah lagi
mengkhianati amanah yang diberikan Allah SWT dalam membuat
keputusan -keputusan penting yang membawa kesan kepada
masa hadapan semua. Janganlah kerana ketamakan nafsu dan
keinginan syahwat bagi meraih keuntungan duniawi yang
sementara, masa depan generasi akan datang dan negara
tergugat, hancur berkecai.

Wanita JIM menyeru umat Islam di Negara in agar kembali
kepada syariah Islam yang menjanjikan kesejahteraan yang
menyeluruh dan berpanjangan. Syariah Islam yang dimaksudkan
bukanlah setakat aspek perundangan semata-mata. Syariah
adalah satu kerangka sistem peraturan di mana aspek-aspek
kehidupan umum dan peribadi disusunatur berasaskan prinsip
Islam. Syariah mempunyai hubungan terus dengan semua aspek
hidup seharian seperti politik, ekonomi, perniagaan,
kekeluargaan, seksualiti dan isu-isu sosial.

Secara khusus,sepanjang tahun 2009 ini, dalam rangka
memastikan perkongsian mengenai keprihatinan masa depan
ini dapat disebarluaskan, Wanita JIM berazam mengutarakan
tujuh isu fokus yang mesti diambil perhatian sewajarnya
oleh semua pihak.

Isu krisis ekonomi global

Hidup yang melebihi dari kemampuan seseorang disuburkan
melalui budaya `kad kredit’ atau berhutang, yang melibatkan
riba’ atau pengambilan faedah oleh syarikat kewangan atau
bank yang sebenarnya menindas dan memerangkaporang ramai.
Wanita JIM mendesak agar semua pihak terutamanya pengguna
menyedari hakikat ini dan kembali kepada hidup yang lebih
sederhana, dalam kemampuan yang sedia ada sebagaimana
yang disarankan oleh Islam. Krisis ini juga mestilah dilihat
sebagai satu muhasabah kepada hidup yang tersasar jauh
dari ajaran Islam yang sebenarnya.

Isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak


Krisis ekonomi akan mengakibatkan tekanan stress yang tinggi
kepada individu dan keluarga. Sudah menjadi satu kenyataan,
statistik bunuh diri dan keganasan terhadap wanita dan kanak
-kanak akan meningkat apabila berlakunya krisis ekonomi yang
mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Dalam satu
nota yang dikeluarkan oleh Setiausaha Suruhanjaya Pembangunan
Sosial ( Commission of Social Development) , Bangsa-Bangsa
Bersatu pada 20 Januari 2009, bertajuk `The current global crises
and their impact on social development’ mengatakan `There
is evidence that in times of economic hardship, social cohesion
comes under threat, with rising social tensions that can
potentially lead to increases in violence. It is a common
perception that during a crisis and economic downturn, people
fear for their own economic future, resulting in a heightened
of competition for jobs and lower support for affirmative
action policies to close social gaps. There is also a tendency
for violence to increase in general, but especially interpersonal
violence and violence against women linked to economic stresses.
Indeed, recent news reports and data collected by centres for
domestic violence, including in the United Kingdom of Great
Britain and Northern Ireland and the United States of America,
have noted an upsurge in domestic violence in 2008.
Simultaneously, budget cuts to social services and
health providers have made it more difficult for
local domestic programmes to meet the needs of their
communities.

Semua pihak mestilah bersedia menghadapi masalah sosial ini
dan mampu menangani kes-kes ini dengan baik – melibatkan
mangsa penderaan dan sipendera juga perlu bantuan segera.

Isu keadilan dan kesaksamaan dalam sistem perundangan
berkaitan keluarga


Wanita yang menjadi anak, adik atau kakak, isteri dan ibu
sering berhadapan dengan pengabaian tanggungjawab di pihak
lelaki yang menjadi bapa, abang atau suami mereka. Amanah
yang dipikulkan Allah SWT di atas bahu mereka dianggap satu
lambang keistimewaan, kekuasaan dan kemuliaan lelaki berbanding
wanita. Apabila kemelut sampai di mahkamah, nyata masih ada
yang perlu diperbaiki dari sudut implementasi dan pelaksanaan
undang-undang tersebut. Wanita JIM berazam untuk memperjuangkan
isu ini dengan cara, wasilah dan saluran yang benar.

Isu keseimbangan hidup wanita


Pembabitan wanita dalam kerjaya mempengaruhi kuantiti masa
yang sepatutnya digunakan untuk menguruskan keluarganya.
Kemahiran mengimbangi kehidupan keluarga dan kerjaya menjadi
keperluan asas setiap wanita yang memilih untuk bekerjaya.
Usaha gigih mesti dijalankan untuk mendidik wanita bekerjaya
agar mampu mengimbangi kehidupan mereka dengan baik.

Isu wanita tanpa suami

Pandangan serong masyarakat kepada wanita yang tidak hidup
bersama suami mesti diperbetulkan. Sama ada seseorang wanita
yang masih sendiri itu kerana belum bertemu jodoh, membuat
pilihan untuk hidup sendiri, bercerai hidup atau mati dengan
bekas suami, mahupun kerana suami dipenjarakan – mereka masih
mempunyai peranan dan sumbangan yang amat berharga untuk keluarga
dan masyarakat. Impak krisis ekonomi global ini ke atas golongan
ibu tunggal mestilah diambil perhatian serius oleh semua pihak.

Isu pengaruh media kepada komuniti khususnya generasi muda.

Wanita mestilah sedar betapa media mempengaruhi pemikiran manusia.
Dalam era kemajuan ICT hari ini, perkembangan teknologi akan
mencabar keupayaan kita untuk menjejakinya. Perhatian wajar
ditumpukan kepada kualiti pengisian program yang dipromosi untuk
menarik perhatian remaja dan belia.


Isu pemeliharaan jati diri wanita


Semakin bertambah usaha memartabatkan wanita, semakin
juga bertambah aktiviti yang mengeksploitasi wanita di
media massa dan di khalayak umum. Yang ironinya, wanita
sendiri yang nampaknya begitu ghairah memperagakan dan
mempertaruhkan apa yang sepatutnya menjadi penghormatan
dan jati diri mereka sendiri. Antara sebab utama adalah
kerana kejahilan dan kurangnya penguasaan dari sudut ilmu
pengetahuan yang sebenarnya terhadap ajaran Islam. Usaha
mesti digembleng agar kefahaman yang benar dapat disampaikan
kepada kaum wanita khususnya generasi muda.

Isu-isu ini akan diperjelaskan dalam beberapa siri penerangan
dan wacana yang dianjurkan oleh Wanita JIM, disamping penulisan
dan kupasan isu yang menjadi fokus di dalam media massa dan elektronik.
Sila rujuk lampiran A. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan
hidayah-Nya kepada kita semua yang ikhlas berjuang di jalan-Nya.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Sira
Ketua Wanita JIM Pusat

No comments: